Irfaan Yusuf
7 min readFeb 29, 2024

Fadhilat dan Amalan Nisfu Syaaban

Keistimewaan dan kelebihan dalam bulan Syaaban adalah perkara yang umat Islam tidak dapat nafikan kerana tercatat dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Namun, kita juga tidak boleh menafikan bahawa terdapat kewujudan hadis-hadis palsu tentang bulan Syaaban dan juga Nisfu Syaaban. Erti kata yang lebih mudah hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak.

Terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh segelintir masyarakat kita hanya merupakan ikutan semata-mata yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat berkaitan dengan sesuatu perkara. Sebagai contoh, mereka mereka hadis-hadis yang berkaitan dengan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu, amalan tertentu mahupun hari tertentu. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat yang direka itu.

Tokoh al-Imam Ibn al-Salah (meninggal pada tahun 643 Hijrah) dalam kitabnya `Ulum al-Hadis menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah”.

Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan adalah:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”.

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal pada 414 Hijrah)

Kata al-Imam al-Zahabi dalam kitabnya iaitu Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal mengenai Ibn Jahdam ialah:

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab.

Apabila kita melihat disisi yang lain, kita akan melihat bahawa wujudnya satu amalan yang dikaitkan dengan bulan Syaaban iaitu solat sunat al-Raghaib. Dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah solat sunat ini membawa maksud solat yang mempunyai sifat yang khusus, yang dilakukan pada awal bulan Rejab atau pertengahan bulan Syaaban. Dalam erti kata lain, solat al-Raghaib ialah solat sunat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat yang pertama dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga dilakukan pada malam nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat.

Antara dalil yang digunakan untuk menyatakan bahawa solat ini wujud adalah daripada hadis Nabi SAW bahawa Nabi SAW bersabda:

يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة

Maksudnya: “Wahai Ali, sesiapa yang mendirikan solat sebanyak seratus rakaat pada malam nisfu Syaaban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya.”

Dalam kitab yang sama iaitu al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah menyebutkan bahawa kelebihan solat al-Ragha’ib ini ada disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ dan al-Hafiz al-‘Iraqi menyebutkan bahawa ia adalah palsu. Bahkan al-Hajjawi turut mengingatkan dalam al-Iqna’ bahawa solat al-Ragha’ib tersebut adalah bidaah dan tidak ada asalnya.

Dalam kitab al-Manar al-Munif, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal pada 751 Hijrah) bahawa:

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi Muhammad SAW. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”.

Walaupun begitu, seperti yang saya cakapkan pada awal penulisan ini bahawa kita tidak boleh menafikan terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keistimewaan dan kelebihan bulan tersebut. Sebagai contoh, apabila Usamah bin Zaid bertanya pada Nabi SAW mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi SAW menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

“Itulah bulan yang manusia lalai mengenainya; antara Rejab dan Ramadan. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak suka diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa”

(Riwayat Ahmad, al-Nasai dan lain-lain. Status: Hasan).

Selain itu, isteri baginda sendiri iaitu Aisyah Rnha, beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يصومُ حتَّى نقولَ لا يُفطِرُ ويُفطِرُ حتَّى نقولَ لا يصومُ وما رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ استَكملَ صيامَ شَهرٍ قطُّ إلَّا رمضانَ وما رأيتُه في شَهرٍ أكثرَ صيامًا منهُ في شعبانَ

Maksudnya: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban”.
Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi SAW, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saya tidak mahu membincangkan tentang hadis-hadis tersebut. Cuma apa yang ingin saya sampaikan adalah hadis-hadis di atas dan menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunah yang sabit daripada Nabi SAW. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan yang soleh.

Berkaitan dengan apa yang saya ingin bincangkan terdapat hadis yang sahih tentang kelebihan Nisfu Syaaban atau pertengahan Syaaban (15 haribulan) di samping banyak hadis palsu tentangnya. Begitu juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal pada tahun 676 Hijrah) dalam kitabnya yang dikenali ramaiiaitu al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan”

Begitu juga kata al-Imam al-Syaukani (meninggal pada tahun 1250 Hijrah) menyebutkan dalam kitab al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:

“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu."

Pun begitu hadis yang sahih tentang Nisfu Syaaban juga wujud. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)

(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain.
Status: Sahih oleh Al-Albani dalam kita Silsilah al-Ahadith al-Sahihah)

Daripada hadis tersebut kita boleh faham bahawa kita boleh melakukan apa-apa amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain daripada dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

Saya ingin sertakan kata Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya bertajuk Fatawa Mu`asarah mengenai amalan malam Nisfu Syaaban iaitu katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."

Kesimpulannya, hadis-hadis sahih tentang kelebihan bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban wujud di samping wujudnya juga hadis-hadis palsu tentang kelebihan bulan Syaaban dan Nisfu Syaaban. Sementara itu, hadis-hadis tentang amalan khusus pada bulan Syaaban tidak wujud bahkan jikalau ada amalan-amalan khusus malam Nisfu Syaaban yang dinyatakan maka bolehlah untuk terus menolak dan menganggap tidak ada asal amalan tersebut daripada agama.

Ingat hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عَمِلَ عَمَلًا ليسَ عليه أمْرُنا فَهو رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak.”

(Riwayat Muslim)

Wallahualam.